Indahnya alam ciptaan Ilahi,
Sungguh keadaan alam semula jadi sentiasa memberikan ketenangan & kedamaian kepada diri. Tidak kira walau seremuk mana hati itu dilanda dengan musibah, dihujani dengan ujian.. Namun alam tidak pernah gagal memberikan ketenangan pada diri ini..
Lantaran itu lah,
Kita mendengar kisah seorang pelukis dan penulis muda mahupun tua akan pergi mencari ilham dengan bertemankan alam. Jika di kota, penuh dengan hiruk piruk, bunyi hon kereta, lori, motorsikal yang membingitkan telinga.. Namun, setelah mengambil sedikit waktu dengan duduk di tepi biara, melihat pemandangan laut yang indah, pukulan ombak yang mesra lantas ilham pun akan keluar mencurah-curah..
Pada situasi lain,
Mungkin ada di antara kita yang tidak tahan dengan 'kepanasan' rumahtangga, kerja dan juga situasi semasa. Lantas, buat seketika waktu, kita cuba menjarakkan hubungan dan gangguan dengan mencari ketenangan. Masuk ke dalam hutan melihat keindahan ciptaan tuhan. Damainya! Hilang segala kekusutan di jiwa. Kita tenang dengan keadaan itu.. Segala kekusutan minda, kesesakan jiwa kita kumpulan dalam satu keluhan. Lantas kita hembus perlahan.. Saat itu, terasa hilang segala bebanan yang memberatkan fikiran.. Benarlah! Sesungguhnya alam tidak pernah gagal memberikan ketenangan!
Indahnya ciptaan tuhan,
Di dalam sebuah hutan yang didalamnya ada beberapa air terjun yang mengalir, kedengaran akan bunyi air terjun yang lalu perlahan, bunyi cengkerik yang tersorok di sebalik batu-batu, bunyi buluh yang bergesel sesamanya, bunyi burung yang menyanyi riang di bawah pohonan rimbun.. Semuanya begitu menenangkan..
Keindahan alam itu,
Di atas puncak bukit yang diseliputi oleh awan dan kabus tebal, udaranya sungguh nyaman, cuacanya cukup dingin, kesunyian yang teramat sangat, kedengaran dan terasa kelembutan dingin angin yang bertiup menyapa kelembutan kulit.. Semuanya begitu mendamaikan..
Ketenangan itu,
Di tepian pantai yang dihiasi dengan terumbu karang nan indah, di dasar lautan yang jernih bisa dilihat dari permukaan air, kelihatan anak-anak ikan yang beranika species dengan berenangan keriangan di sebalik terumbu karang, deruan angin yang menderu, bunyi ombak yang memukul pantai, juga daun-daun pokok ditepian pantai seolah-olah menari apabila ditiup angin.. Semuanya itu sangat mententeramkan..
Indahnya alam ini,
Itulah ungkapan yang terlintas dalam pemikiran ini ketika memandang alam ciptaan ALLAH. Banyak lagi pelbagai keindahan alam yang begitu menenangkan jiwa, mendamaikan hati, melapangkan minda dan menyejukkan jiwa. Rupa-rupanya baru aku sedar, segala apa yang aa dilangit ini senantiasa bertasbih dan memuji ilahi. Cuma aku yang tidak mendengarnya. Jelas dalam firman-NYA dalam al-Quran :"Segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah); dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Hadid ayat 1]
"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Hasyr ayat 1]
"Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." [Surah as-Saf ayat 1]
"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." [Surah al-Jumua' ayat 1]
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi MahaPengampun" [Surah al-Isra' ayat 44]
Aku sedar,
Selama ini yang ku sangka bisa mendamaikan hati, mententeramkan jiwa hanyalah satu ilusi. Bila mana aku mendengar muzik yang entah apa-apa secara berlebihan mungkin hanya menenangkan jasad semata tapi bukan jiwa. Tetapi bila aku mendengar dan memerhati kepada alam sekeliling, jiwa dan jasad ku berasa tenang. Begitu jualah dengan orang yang lain, sama ada apa anutan sekali agama mereka, pasti dan pasti alam itu memberikan ketenagan dan kedamaian padanya kerana jiwa dan roh itu sentiasa tenang bila mendegar tasbih dan pujian pada ilahi.
Maka,
Seharusnya hati dan lidahku perlu lebih banyak bertasbih dan memuji ilahi supaya bisa menenangkan jiwa, mendamaikan hati, melapangkan minda, juga menyejukkan jiwa.. Hanya kerana DIA~
0 comments:
Post a Comment