Tuesday, 15 April 2014


Para ulama' salaf terdahulu sangat ketat terhadap bid'ah dan sering mengecam perbuatan tersebut. Hal itu dilakukan bukanlah kerana mereka menganggap diri mereka itu suci dan lebih baik daripada orang lain atau berfaham dengan fahaman hanya kami sahaja yang benar dan kefahaman selain kami ialah salah.
Mereka tidaklah membenci bid'ah semata-mata kerana kemuliaan diri mereka sebaliknya demi kemuliaan agama Allah dan semangat kebenaran serta kebimbangan dan kasih sayang terhadap deen ini untuk memeliharanya dari kepalsuan.
Mereka itu ketat itu dalam menjaga al-sunnah dan berpegang kepadanya adalah demi memastikan kemurniaan Islam daripada pencemaran dan penyelewengan. Mereka melakukannya demi mencari keredhaan Allah dan kerana tidak mahu Islam dicemari dan dipalsukan oleh ahli bid'ah dan orang-orang yang jahil serta pengikut hawa nafsu.
Dinaqalkan daripada Imam Al-Auzaie yang meriwayatkan daripada salah seorang tabien yang berkata ;
ما ابتدع قوم بدعة في دينهم إلا نزع الله من سنتهم مثلها ثم لا يعيدها عليهم إلى يوم القيامة
'Tidaklah suatu kaum melakukan bid'ah di dalam agama mereka kecuali Allah akan mencabut sunnah yang seumpamanya lalu tidak akan mengembalikannya lagi kepada mereka sehinggalah hari kiamat.' [Riwayat Ad-Darimi]
Tidak perlu satu surah al-Quran tetapi cukuplah satu baris atau satu huruf yang dipesongkan dan tidak perlu semua hadith tetapi cukuplah sebuah hadith yang palsu berhasil diserap masuk ke dalam masyarakat Islam dan cerita-cerita khurafat. Lihatlah apa kesannya kemudian kepada ummah dan generasi masa depan.
Dahulu hanya kerana kepercayaan kepada hadith palsu yang berbunyi :
لا يدخل ولد الزنا الجنة , و لا شيء من نسله , إلى سبعة آباء
"Tidak akan masuk syurga anak zina, tidak masuk juga keturunannya sehinggalah kepada tujuh keturunan." [Diriwayatkan oleh al-Tabarani namun ianya tidak sahih dari Nabi salallahualaihiwassalam dan dimuatkan dalam kitab al-Maudhu'at oleh Imam Ibn Jauzi]
Maka ramailah anak-anak zina dimalukan, menanggung aib dan hidup teranaiya, dicela jiran tetangga, sukar menikah dan hidupnya tertindas oleh kerana dosa ibubapanya yang mungkin sudah pun meninggal atau telah pun bertaubat.
Zaman kini, muncul pula pelbagai cerita dan kisah, riwayat dan hadith yang dipopularkan oleh penceramah agama yang jika tidak ditapis serta dikritik maka sudah pasti Islam yang diterima oleh generasi masa depan akan berbeza daripada Islam yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwassalam.
Diriwayatkan bahawa Abdullah Ibn Umar RA berkata,
كل بدعة ضلالة وإن رآها الناس حسنة
'Setiap bid'ah itu sesat sekalipun manusia memandangnya sebagai baik.' [al-Ibanah al-Kubra, Ibn Battah]
Itu belum dicampur ancaman dari golongan liberal, sekular, pluralisme, feminis, kapitalis dan pihak yang berniat jahat terhadap agama ini baik di luar dan dalam...
Hanya Allah sebaik-baik pelindung dan tempat kita memohon pertolongan...



oleh Ustaz Emran Ahmad

0 comments:

Post a Comment