Monday, 31 March 2014



Ada anak gadis yang kelihatan comel rupa-parasnya, sopan santun dan lembut tutur langkahnya tetapi setelah bernikah baru diketahui dia rupanya ada peribadi lain yang tersembunyi. Siapa boleh tahan kalau tiap-tiap hari minta cerai? Mengugut untuk bunuh diri dan mengancam akan menikam suami sewaktu tidur jika permintaannya tidak dipenuhi?

Biarpun cantik rupanya, bertudung labuh dan ada kalanya meletak 'pic profile' gadis berpurdah di facebook namun suami tak bahagia lantaran hari-hari terseksa batin dan jiwa dengan perangai si isteri.

Ada pula sang jejaka yang kacak dan tampan, Islamik dan beragama namun tangannya mudah sekali naik ke muka isteri. Ada pula jejaka yang romantik dan mempesona jiwa tetapi hakikatnya dia bernafsu kepada kaum sejenis. Ada pula lelaki yang berjanggut dan berjubah namun dalam diam memuja fahaman dan sosok gurunya sehingga kerana fahaman taasubnya itu habis porak-peranda rumahtangga.

Manusia memang tidak akan sempurna tetapi perlulah ada batas yang perlu dipatuhi. Seperti kata Abdullah bin Mas'ud RA;


المؤمن يطبع على الخلال كلها إلا الخيانة والكذب


'Seorang mukmin dapat terbentuk wataknya berdasarkan kekurangan apa saja kecuali khianat dan dusta.' [al-Ibanah al-Kubra, Ibn Battah]

Jadi dalam membuat keputusan tentang siapakah calon teman hidup, baik suami atau isteri maka pastikanlah paling kurang 3 ciri berikut tak tergadai oleh janji manis dan emosi atau hormon yang menguasai diri iaitu;

1. Teguh peribadi bukan macam lalang, setiap malam berubah keputusan. Biarlah kata-katanya boleh dipegang, janjinya boleh dipercayai.

2. Tidak mudah putus asa dan lemah diuji, jangan baru sedikit kena tempias hujan sudah mengadu tidak tahan basah. Itu belum dicampak berenang dalam lautan api....

3. Hatinya lembut, mudah ditegur dan senang dibimbing, tidak ego dan senang mentaati suami atau menerima nasihat isteri. Bukan sombong dan bongkak bagaikan Raja dan permaisuri bani Israel, semua cakap mahu disanggah, semua yang tak kena mahu dikomen dan dikritik, susah sekali untuk redha dan menerima dengan syukur dan lapang dada.

Andai tiada tiga asas di atas, biarlah berjubah sampai ke kaki, janggut panjang sampai ke buku lali atau bertudung labuh dan comel serta cantik bagaikan model iklan ubat gigi, simpanlah kecantikan itu kerana ianya tak membantu dalam kehidupan suami-isteri!


Ustaz Imran Ahmad

0 comments:

Post a Comment