Kebenaran itu datang dari wahyu bukan percubaan atau pengalaman manusia
1. Bomoh yang berjaya merawat pesakitnya bukanlah bermakna dia benar
2. Tok guru atau syeikh yang permintaannya makbul, atau mempunyai kelebihan bukanlah semestinya benar
3. Doa-doa atau zikir yang disandarkan kepada Imam al-Syafie, An-Nawawi, Abd Qadir al-Jilani, wali atau orang soleh tertentu tidaklah semestinya baik dan diterima.
Ada orang selalu mendakwa, sesuatu doa atau zikir itu adalah mujarab untuk dibaca atau diamalkan kerana seorang syeikh atau ustaz popular pernah membacanya lalu tercapai hasratnya. Begitu juga dengan sesuatu petua atau amalan yang tiada dasar daripada agama, dilakukan bagi mendapat manfaat atau mengelak mudharat, seperti perbuatan dukun, bomoh atau amalan kebatinan yang dibuat kononnnya berdasarkan pengalaman orang-orang dahulu.
Aljawab...
Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah;
ثم سبب قضاء حاجة بعض هؤلاء الداعين الأدعية المحرمة أن الرجل منهم قد يكون مضطرا اضطرارا لو دعا الله بها مشرك عند وثن لاستجيب له ، لصدق توجهه إلى الله ، وإن كان تحري الدعاء عند الوثن شركا ، ولو استجيب له على يد المتوسل به ، صاحب القبر أو غيره لاستغاثته ، فإنه يعاقب على ذلك ويهوي في النار ، إذا لم يعف الله عنه ..."
ثم يقول : " ومن هنا يغلط كثير من الناس ؛ فإنهم يبلغهم أن بعض الأعيان من الصالحين عبدوا عبادة أو دعوا دعاء ، ووجدوا أثر تلك العبادة وذلك الدعاء ، فيجعلون ذلك دليلا على استحسان تلك العبادة والدعاء ،
ويجعلون ذلك العمل سُنّة ، كأنه قد فعله نبي ؛ وهذا غلط لما ذكرناه
Kemudian, sebab tercapainya hajat sebahagian golongan yang meminta dengan doa yang haram itu adalah kerana mungkin ada lelaki dikalangan mereka itu yang sedang berada dalam kesusahan atau kesempitan yang sekiranya seorang musyrik pun berada ditempatnya lalu berdoa kepada patung berhalanya akan dimakbulkan. Hal ini kerana benarnya pengharapan dia kepada Allah, sekalipun berdoa kepada berhala itu syirik dan sekalipun doanya itu dimakbulkan melalui tangan atau wasilah yang menjadi sekutu kepada Allah tersebut.
Baik melalui doa atau dengan berharap kepada si mati dalam kubur atau selainnya. Sesungguhnya dia tetap akan diazab di atas perbuatannya tersebut, lalu dicampakkan ke dalam api neraka jika Allah tidak mengampunkannya.
Kemudian beliau berkata; 'Ramai orang salah anggap, apabila mereka mendapati sebahagian tokoh orang soleh melakukan sesuatu ibadat atau berdoa dengan sesuatu doa, dan mereka mendapati perkara tersebut memberikan kesan atau berhasil maka mereka pun segera menganggap ianya sebagai dalil atau hujah akan baik atau bagusnya ibadat atau doa tersebut. Dan mereka pun menjadikan ia sebagai amalan sunnah seolah-olah ianya dibuat oleh nabi sedangkan hal ini adalah salah seperti yang telah kami sebutkan....' [Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim Mukhalafat Ashab al-Jahim, Ibn Taimiyyah]
# Ramai orang Cina berdoa kepada tokong budha, patung berhala lalu makbul, orang Kristian berdoa kepada Jesus atau patung Maryam di geraja makbul. Itu semua tidaklah menjadikan hujah atau dalil bahawa agama mereka benar.
Dajjal juga akan dapat memakbulkan permintaan orang ramai, tetapi hal itu tidaklah akan menjadikan Dajjal itu sebagai Tuhan.
Justeru agama dan kebenaran dinilai berdasarkan dalil, bukan kelebihan atau keberhasilan mencapai sesuatu.
Oleh Ustaz Emran Ahmad