Wednesday, 16 April 2014


Orang yang beriman akan berhati-hati dengan apa yang diucapkan dan ditulisnya kerana dia menyedari bahawa tidaklah ringan hisab dari hasil lisan dan tulisannya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ مَا فِيْهَا يَهْوِى بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَمَا بَيْنَ الْمَسْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
'Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan sesuatu kalimah, yang tidak diambil berat tentang apa yang diucapkannya telah menyebabkan dia dicampakkan ke neraka yang kedalamannya lebih jauh dari timur dan barat.' [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Hanya mereka yang cerdik dan faham tentang agamanya sahaja akan berhati-hati dengan apa yang diucapkan atau ditulisnya. Perlukah berkata begitu? Wajarkan ditulis begitu? Apakah manfaatnya lebih besar dari mudharat atau sebaliknya?
Benarlah kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang diriwayatkan menyebut;
ما عقل دينه من لم يحفظ لسانه
'Tidaklah dianggap seseorang itu memahami agamanya bagi orang yang tidak menjaga lisannya.' [Ihya Ulumuddin, Al-Ghazalie]
Kerana itu para salaf cukup berhati-hati dalam sesuatu ucapan, fatwa, pendapat agama dan sebagainya kerana menyedari bahawa ianya satu tanggungjawab, bebanan dan akan dihisab. Bak kata Thawus bin Kaisan al-Yamani, salah seorang tabien yang masyhur, bahawa ucapan seseorang itu adalah ibarat binatang buas yang jika tidak dikawal dengan baik maka ia pasti akan membinasakannya.
# Fiqh dalam ucapan dan tulisan, jika kita tidak mendapati ada kebaikan dan keperluan atau kepentingan untuk mengucapkan sesuatu maka berdiam diri ialah sebaik-baik pegangan dan perbuatan.
Allah SWT berfirman;
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
“Tiadalah suatu ucapan yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Qaaf: 18).


Oleh Ustaz Emran Ahmad

Tuesday, 15 April 2014


Para ulama' salaf terdahulu sangat ketat terhadap bid'ah dan sering mengecam perbuatan tersebut. Hal itu dilakukan bukanlah kerana mereka menganggap diri mereka itu suci dan lebih baik daripada orang lain atau berfaham dengan fahaman hanya kami sahaja yang benar dan kefahaman selain kami ialah salah.
Mereka tidaklah membenci bid'ah semata-mata kerana kemuliaan diri mereka sebaliknya demi kemuliaan agama Allah dan semangat kebenaran serta kebimbangan dan kasih sayang terhadap deen ini untuk memeliharanya dari kepalsuan.
Mereka itu ketat itu dalam menjaga al-sunnah dan berpegang kepadanya adalah demi memastikan kemurniaan Islam daripada pencemaran dan penyelewengan. Mereka melakukannya demi mencari keredhaan Allah dan kerana tidak mahu Islam dicemari dan dipalsukan oleh ahli bid'ah dan orang-orang yang jahil serta pengikut hawa nafsu.
Dinaqalkan daripada Imam Al-Auzaie yang meriwayatkan daripada salah seorang tabien yang berkata ;
ما ابتدع قوم بدعة في دينهم إلا نزع الله من سنتهم مثلها ثم لا يعيدها عليهم إلى يوم القيامة
'Tidaklah suatu kaum melakukan bid'ah di dalam agama mereka kecuali Allah akan mencabut sunnah yang seumpamanya lalu tidak akan mengembalikannya lagi kepada mereka sehinggalah hari kiamat.' [Riwayat Ad-Darimi]
Tidak perlu satu surah al-Quran tetapi cukuplah satu baris atau satu huruf yang dipesongkan dan tidak perlu semua hadith tetapi cukuplah sebuah hadith yang palsu berhasil diserap masuk ke dalam masyarakat Islam dan cerita-cerita khurafat. Lihatlah apa kesannya kemudian kepada ummah dan generasi masa depan.
Dahulu hanya kerana kepercayaan kepada hadith palsu yang berbunyi :
لا يدخل ولد الزنا الجنة , و لا شيء من نسله , إلى سبعة آباء
"Tidak akan masuk syurga anak zina, tidak masuk juga keturunannya sehinggalah kepada tujuh keturunan." [Diriwayatkan oleh al-Tabarani namun ianya tidak sahih dari Nabi salallahualaihiwassalam dan dimuatkan dalam kitab al-Maudhu'at oleh Imam Ibn Jauzi]
Maka ramailah anak-anak zina dimalukan, menanggung aib dan hidup teranaiya, dicela jiran tetangga, sukar menikah dan hidupnya tertindas oleh kerana dosa ibubapanya yang mungkin sudah pun meninggal atau telah pun bertaubat.
Zaman kini, muncul pula pelbagai cerita dan kisah, riwayat dan hadith yang dipopularkan oleh penceramah agama yang jika tidak ditapis serta dikritik maka sudah pasti Islam yang diterima oleh generasi masa depan akan berbeza daripada Islam yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwassalam.
Diriwayatkan bahawa Abdullah Ibn Umar RA berkata,
كل بدعة ضلالة وإن رآها الناس حسنة
'Setiap bid'ah itu sesat sekalipun manusia memandangnya sebagai baik.' [al-Ibanah al-Kubra, Ibn Battah]
Itu belum dicampur ancaman dari golongan liberal, sekular, pluralisme, feminis, kapitalis dan pihak yang berniat jahat terhadap agama ini baik di luar dan dalam...
Hanya Allah sebaik-baik pelindung dan tempat kita memohon pertolongan...



oleh Ustaz Emran Ahmad
Ustaz kata, 

Allah Subhanahu wa Taa'la tidak menerima syafaat Nabi Ibrahim as untuk ayahnya, Azar yang musyrik..
Walaupun Nabi Ibrahim as seorang nabi, namun syafaat bukanlah milik Nabi Ibrahim as. Syafaat tetap milik dan izin dari Allah. Malah Nabi Ibrahim as sendiri telah berdakwah kepada ayahnya dengan kaedah yang paling baik kepada ayahnya, tetap ditolak..
Dan akhirnya ayah Nabi Ibrahim as telah dicampak ke Neraka..
Tapi ustaz menambah lagi, 
Dalam dakwah dan menyeru kebaikan jangan putus asa..

Mungkin ada orang-orang yang hampir dengan kita masih ada yang belum menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Walaubagaimanapun, usaha menyampaikan perlu diteruskan..
Contohnya, Nabi Muhammad solallahua'laihi wassalam sendiri diuji dengan bapa saudaranya yang tidak menerima dakwah Baginda...
Mungkin ada orang yang kita kenal, dia seorang suami dan baik pula agamanya, namun isterinya tidak mahu mengamalkan perintah agama..
Maka, rujuk kembali Kisah Nabi Allah Nuh as. Malah Isteri Nabi Allah Nuh as sendiri menolak dalam bab iman..
Jangan pula kita sibuk-sibuk menilai dengan mengatakan 
"Macamana suami nak jadi pemimpin, sedangkan isterinya masih tak ikut perintah Allah".
Juga mungkin dia seorang bapa yang baik rajin solat ke masjid, tapi anak-anak tak mengikut bapanya..
Jangan dikritik kritik si ayah atau si anak...

Kalau begitu, tak layaklah Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh as menjadi Rasul kerana ayahnya Nabi Ibrahim as ingkar perintah Allah dan Anak Nabi Nuh menolak dakwah yang dibawa.
Jangan dikritik si ayah,si suami atau seseorang itu, kerana boleh jadi beliau memang sentiasa berusaha berdakwah, namun hanya Allah belum izinkan hidayah...
Jangan jadikan iman mad'u (orang didakwah) fitnah kepada dai'e (orang yang berdakwah) kerana hidayah Allah yang beri. Ini Hakikat yang perlu kita semat dan pegang kuat-kuat.
Jangan sesekali menilai seseorang semata-mata berdasarkan orang sekelilingnya.. Kita sendiri tak pasti adakah kita hari ini adalah orang yang sama 10-20 tahun lagi...
Yang penting, kita doakan dan sebarkan kebaikan..
Malah, kita lebih-lebih patut risaukan tahap iman kita sendiri di masa akan datang. Jika kita sibuk perbaiki diri sendiri, kita takkan sempat melihat kekurangan orang lain.
Mudah-mudahan kita dipelihara oleh Allah daripada menjadi 'anak' kepada Nabi Nuh as atau 'bapa' kepada Nabi Ibrahim as atau 'isteri' kepada Nabi Luth as & Nabi Nuh as mahupun 'suami' kepada Asiah...
~Kuliah Tafsir Ustaz Mohd Yusof Arbain~
MRM, 15 Jamadilakhir 1435

Saturday, 12 April 2014




# Kita bimbang banyak berbuat baik namun tidak dikira di sisi Allah pada hari akhirat di saat-saat kita benar-benar memerlukan pahala kerana dalam hati kita ada syirik dan keburukan niat lalu terhapus semua pahala.
Allah SWT berfirman;
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau -wahai Muhammad - dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum engkau: "Jika kamu berbuat syirik (kepada Allah), nescaya akan gugur atau terhapuslah amalan kamu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi." [Az-Zumar: 65]
# Kita juga bimbang begitu banyak dakwah, kebenaran yang kita sampaikan ke seluruh pelusuk alam namun ianya tidak menyebabkan kita masuk ke syurga Allah kerana di dalam hati kita ada perasaan sombong dan angkuh serta besar diri dengan menganggap sudah banyak berjasa kepada agama.
Dari Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda;
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر
'Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau sebesar zarah daripada perasaan besar diri.' [Riwayat Muslim]
# Kita bimbang, begitu banyak orang yang melakukan maksiat, dosa dan kesilapan diampunkan oleh Allah pada hari akhirat namun kita pula terhalang dari mendapat pengampunan daripada-Nya kerana bid'ah dan kesesatan yang kita mulakan sehingga diikuti oleh orang lain.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
إن الله حجب التوبة عن كل صاحب بدعة حتى يدع بدعته
'Sesungguhnya Allah menahan taubat setiap ahli bid'ah sehinggalah dia meninggalkan bid'ahnya.' [Riwayat al-Tabarani dan Al-Baihaqi, sebahagian ulama' mensahihkannya dan terdapat riwayat yang lain dari jalan Ibn Abbas RA yang dikeluarkan oleh Ibn Majah namun ianya didhaifkan oleh Syeikh Al-Albani]
Namun menjadi ucapan salaf, bahawa ahli bid'ah terhalang taubatnya sehinggalah dia meninggalkan bid'ahnya. Antaranya ucapan Imam Sufyan al-Thauri rahimahullah yang diriwayatkan menyebut;
البدعة أحب إلى إبليس من المعصية؛ لأن المعصية يتاب منها والبدعة لا يتاب منها
'Bid'ah itu adalah lebih disukai oleh Iblis daripada maksiat, kerana maksiat itu orang yang melakukannya akan bertaubat sedang pelaku bid'ah tidak akan bertaubat (kerana menyangka dia benar).' [al-Bada'i`al-Fawa'id, Ibn al-Qayyim]
Semoga kita diselamatkan oleh Allah dari apa yang kita bimbangkan !
الَلَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا أَعْلَمُ


Ustaz Emran Ahmad

Wednesday, 9 April 2014



Dalam kitab Al-I’tisam karya al-Imam al-Syatibi: "Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) daripada mana aku patut berihram?. Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah ذو حليفة di mana tempat yang RasululLah berihram”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram daripada Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram daripada kubur Nabi s.a.w.. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang menimpa ke atas dirimu fitnah”. Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik:
وأي فتنة أعظم من أن ترى أنك سبقت إلى فضيلة قصّر عنها رسول الله صلى الله عليه وسلم، وإني سمعت الله يقول: فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
(Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih” Surah al-Nur: 63.
ULASAN: Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi s.a.w, atau kubur baginda s.a.w, namun al-Imam Malik membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap dia dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi s.a.w.



Dr.Asri Zainal Abidin (Dr.MAZA)

Sunday, 6 April 2014


Umat Islam perlu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran baik untuk kepentingan dunia dan juga akhirat. Hal ini merupakan kewajipan fardhu kifayah sebagaimana Zaid bin Tsabit RA yang pernah diperintahkan oleh Nabi salallahualaihiwassalam untuk mempelajari bahasa yahudi agar umat Islam tidak ditipu oleh mereka.
Begitu juga pada hari ini umat Islam perlu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran teknologi agar dapat mempertahankan Islam dan memanfaatkan ummah.
Diriwayatkan bahawa Imam al-Syafie rahimahullah pernah menyebut;
لا أعلم بعد الحلال والحرام أنبل من الطب، إلاَّ أنّ أهل الكتاب قد غلبونا عليه
'Aku tidak mengetahui selepas halal dan haram akan ilmu yang lebih mulia selain ilmu perubatan. Akan tetapi ahli kitab telah mengalahkan kita pada bidang ini.'
Begitu juga beliau menyebut;
ضيعوا ثلث العلم ووكلوا إلى اليهود والنصارى
Umat Islam telah mengabaikan hampir satu pertiga daripada ilmu dan membiarkannya kepada kaum yahudi dan nasrani. [Adab Asy-Syafi'i, Ibnu Abi Hatim al-Razi]
Kita perlu bersungguh-sungguh untuk menguasai pelbagai ilmu kerana agama sebagaimana Zaid bin Tsabit RA yang menguasai bahasa yahudi dalam masa 17 hari sahaja kerana kesungguhannya bagi menunaikan kewajipan ilmu terhadap ummah.


by : Ustaz Emran Ahmad

Saturday, 5 April 2014


Di dalam Islam, mendapat kematian yang baik adalah merupakan tujuan hidup orang-orang yang beriman. Ini kerana diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;
الأعمال بالخواتيم
'Sesungguhnya amalan itu adalah bergantung kepada pengakhirannya.' (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang beriman untuk mencari jalan dan berusaha mendapatkan kematian yang mulia lagi diredhai oleh Allah agar kehidupan mereka menjadi bernilai dan bermakna. Disebabkan itu, maka kita seharusnya memberi fokus tentang kematian dan sentiasa bersedia untuk mati dengan memikirkan serta berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
Kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah;
وما ألزم عبد قلبه ذكر الموت إلا صغرت الدنيا عليه
'Dan tidaklah seorang hamba itu mengingati mati di hatinya melainkan dunia pun akan menjadi kecil baginya.'

Tidak ada masalah yang lebih besar, lebih berbaloi dan lebih menakutkan daripada mati. Justeru sesiapa yang mempersiapkan amalan dan bersedia untuk mati maka dia akan mampu menghadapi apa jua ujian dan dugaan dalam kehidupan.
Sebahagian salaf selalu berpesan supaya bersedia untuk mati dan menjadikan ia di jalan Allah.
Kata mereka;
احذر الموت في هذه الدنيا قبل أن تصير إلى دار تتمنى فيها الموت فلا تجده
'Berhati-hatilah dengan kematian di dunia ini sebelum kamu menuju ke dunia yang satu lagi yang mana kamu berharap untuk mati di dalamnya tetapi kamu tidak akan mendapatinya.'

Sementara kita masih hidup, manfaatkanlah kehidupan dan kematian kita di jalan yang Allah redha...

Kita memohon perlindungan Allah dari tertipu dengan dunia dan kecantikannya sehingga kita
disibukkan dengan berdebat, berbahas dan berjidal tentang hal yang sia-sia sehingga
apabila datang kematian lalu kita tak punya bekal apa-apa bahkan hanya dosa dan bebanan
yang sangat banyak....

Semoga Allah menjauhkan kita dari kematian yang sia-sia dan menemukan kita dengan
husnul khatimah yang diidam-idamkan..

Oleh Ustaz Emran Ahmad

Tuesday, 1 April 2014

Ancaman keras ke atas penyebar Hadis Palsu


Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menurunkan al-Quran kepada hamba-hambaNya sebagai petunjuk sepanjang jalan untuk mereka di muka bumi ini menuju kepadaNya kembali di akhirat nanti. Al-Quran mengandungi segala sesuatu yang diperlukan oleh hamba-hamba Allah untuk menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat daripada segala bentuk kesengsaraan baik yang sementara mahupun yang kekal.

Di antara perkara utama yang ditekankan dan diarahkan oleh al-Quran ialah menjadikan Muhammad bin Abdullah, Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan kita di alam ini. Kepercayaan kita kepada al-Quran sebagai kitab petunjuk sejati tidak sempurna jika tidak disulami dengan kepercayaan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah wakil Allah Ta’ala kepada kita. Sebagai wakil Allah Ta’ala, bagindalah yang paling mengetahui kehendak Allah Ta’ala dalam al-Quran. Justeru apa sahaja kefahaman kita terhadap mana-mana sahaja ayat al-Quran tidak boleh diterima sekiranya tidak melalui pengesahan kefahaman Rasulullah s.a.w.

Di dalam satu riwayat, Ibnu Mas’ud telah berkata, “Allah melaknati pembuat tattoo, orang yang meminta tattoo, orang yang mencabut bulu badan dan juga orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah.” Kenyataan ini telah sampai ke telinga seorang wanita daripada Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub lalu dia datang seraya berkata, “Saya dengar kamu melaknat sekian dan sekian!” Ibnu Mas’ud menjawab, “Apa salahnya saya melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dan juga yang terdapat dalam kitab Allah?” Wanita itu berkata, “Saya telah membaca keseluruhan al-Quran dan saya tidak menjumpai apa yang kamu sebutkan itu.” Ibnu Mas’ud menjawab, “Jikalau engkau benar-benar membacanya pasti engkau akan menjumpainya. Tidakkah engkau membaca (ayat 7 Surah al-Hasyr) yang bermaksud: “Dan apa yang dibawa oleh Rasul maka hendaklah kamu semua ambil dan apa yang ditegah olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan?” Wanita itu menjawab, “Sudah tentu.” Ibnu Mas’ud berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menegah perbuatan itu.” (HR al-Bukhari, No. 4886).

Setelah diketahui bahawa tiada perbezaan dari sudut penghujahan antara ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w., perlulah diketahui bahawa al-Quran tidak dapat diselewengkan dengan sewenang-wenangnya dari sudut ‘thubut’ iaitu ketetapan. Ini berbeza dengan hadis yang tidak mengalami proses penulisan seperti al-Quran. Dengan itu, masih ada ruang bagi musuh-musuh Islam untuk membuat penyelewengan dalam hadis dengan memalsukan kenyataan-kenyataan dan menyandarkannya kepada Rasulullah s.a.w.

Walaupun begitu, Allah Ta’ala telah menjanjikan bahawa agamaNya akan kekal terpelihara. Kewujudan para ulama yang pakar dan mahir dengan selok-belok hadis dapat mengatasi kemelut pemalsuan ini. Dr Subhi al-Salih daalm kitabnya Ulum al-Hadis wa Mustalahuh telah menyatakan bahawa apabila al-Imam Abdullah bin al-Mubarak ditanya, “Bagaimana dengan hadis-hadis palsu?” Beliau menjawab, “Akan muncul pakar-pakar yang membanterasnya. Allah Ta’ala telah berfirman (dalam Surah al-Hijr ayat 9) yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan dan pasti Kami akan menjaganya.”

Secara umumnya membezakan lalu membanteras hadis palsu adalah satu-satunya jalan untuk menjaga kemurnian agama Islam daripada diselewengkan dari sudut ini. Semoga Allah Ta’ala memperbanyakkan individu muslim yang kritis dan cergas dalam mempertahankan agama Islam dengan mempertahankan hadis Rasulullah s.a.w.

Kerosakan sesuatu perkara hanya akan diketahui dengan tahap dosa yang dikaitkan dengannya. Di sini kita akan menyingkap tahap dosa yang dikaitkan dengan mereka yang menyebarkan hadis palsu. Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadis fi ‘Ulum al-Hadis halaman 183, telah mengkategorikan periwayatan hadis palsu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama, meriwayatkan hadis palsu secara sengaja. Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.” (HR al-Bukhari, No. 6197)

Kedua, meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja. Orang yang meriwayatkan hadis palsud secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.” (HR Ibnu Majah, Kitab al-Thalaq, Bab Thalaq al-Mukrah wa al-Nasi, No. 2033. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah No. 1675).

Ketiga, meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetap akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui tentang kepalsuan hadis itu. Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.” Dalil kedua, hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ianya diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (HR Muslim dalam Muqaddimah Sahih Muslim). Dalil ketiga, hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Para qadhi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Qadhi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Qadhi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Qadhi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (HR Abu Daud, Kitab al-Aqdiyah, Bab fi al-Qadi Yukhti’, No. 3573. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 3573.)

Jelaslah bahawa ancaman dalam dalil-dalil ini amat keras, justeru hendaklah kita sebagai umat Islam berwaspada dalam penyampaian hadis. Telitilah terlebih dahulu hadis-hadis yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Jika kita pernah menyampaikan hadis palsu, segeralah kita bertaubat. Bacalah doa ini, “Ya Allah, aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak. Tiada siapapun yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau. Ampunkanlah dosaku dengan pengampunan dariMu dan rahmatilah daku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Setelah itu, janganlah diulangi kesilapan yang sama iaitu menyebar hadis palsu…



Dr Fadlan bin Mohd Othman
(Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM)





Marilah kita memperbaiki cara kita berinteraksi dengan al-Quran al-Karim khususnya dalam Tadabbur al-Quran yang sebenarnya menggambarkan tahap kecintaan kita kepada Allah Ta’ala. 

Perhatikanlah ungkapan Al-Shaikh Jamal al-Din al-Qasimi al-Dimashqi rahimahullah (dalam kitab Mau’izat al-Mu’minin min Ihya’ ‘Ulum al-Din. Tahqiq: ‘Asim Bahjah al-Baitar. Bayrut: Dar al-Nafa’is. 1423H-2002):

فالقرآن يراد للعمل به، وأما مجرد حركة اللسان فقليل الجدوى وتلاوة القرآن حق تلاوته هو أن يشترك فيه اللسان والعقل والقلب، فحظ اللسان تصحيح الحروف بالترتيل، وحظ العقل تفسير المعاني، وحظ القلب الاتعاظ والتأثر بالانزجار والائتمار، فاللسان يرتل والعقل يترجم والقلب يتعظ.

Maksudnya: Maka al-Quran tujuannya adalah untuk diamalkan. Adapun semata-mata menggerakkan lisan maka faedahnya kurang. Tilawah al-Quran yang sebenarnya ialah yang menggabungkan lisan, akal dan hati. Fungsi lisan adalah membetulkan huruf semasa baca. Fungsi akal adalah mentafsirkan ertinya. Fungsi hati adalah mengambil pengajaran dan terkesan dengan menjauhi dan mematuhi.
Justeru; lisan membaca, akal menterjemahkan dan hati mengambil pengajaran.

Semoga Allah menunjukkan kebenaran kepada kita dan memudahkan kita mempraktikkannya, sebagaimana kita berharap agar Allah Ta’ala menunjukkan kebatilan kepada kita dan memudahkan kita menghindarinya.

Amin ya Rabbal ‘alamin.



Oleh Ustaz Fadlan Othman

Monday, 31 March 2014



Kebenaran itu datang dari wahyu bukan percubaan atau pengalaman manusia

1. Bomoh yang berjaya merawat pesakitnya bukanlah bermakna dia benar
2. Tok guru atau syeikh yang permintaannya makbul, atau mempunyai kelebihan bukanlah semestinya benar
3. Doa-doa atau zikir yang disandarkan kepada Imam al-Syafie, An-Nawawi, Abd Qadir al-Jilani, wali atau orang soleh tertentu tidaklah semestinya baik dan diterima.

Ada orang selalu mendakwa, sesuatu doa atau zikir itu adalah mujarab untuk dibaca atau diamalkan kerana seorang syeikh atau ustaz popular pernah membacanya lalu tercapai hasratnya. Begitu juga dengan sesuatu petua atau amalan yang tiada dasar daripada agama, dilakukan bagi mendapat manfaat atau mengelak mudharat, seperti perbuatan dukun, bomoh atau amalan kebatinan yang dibuat kononnnya berdasarkan pengalaman orang-orang dahulu.

Aljawab...

Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah;

ثم سبب قضاء حاجة بعض هؤلاء الداعين الأدعية المحرمة أن الرجل منهم قد يكون مضطرا اضطرارا لو دعا الله بها مشرك عند وثن لاستجيب له ، لصدق توجهه إلى الله ، وإن كان تحري الدعاء عند الوثن شركا ، ولو استجيب له على يد المتوسل به ، صاحب القبر أو غيره لاستغاثته ، فإنه يعاقب على ذلك ويهوي في النار ، إذا لم يعف الله عنه ..."
ثم يقول : " ومن هنا يغلط كثير من الناس ؛ فإنهم يبلغهم أن بعض الأعيان من الصالحين عبدوا عبادة أو دعوا دعاء ، ووجدوا أثر تلك العبادة وذلك الدعاء ، فيجعلون ذلك دليلا على استحسان تلك العبادة والدعاء ،
ويجعلون ذلك العمل سُنّة ، كأنه قد فعله نبي ؛ وهذا غلط لما ذكرناه
Kemudian, sebab tercapainya hajat sebahagian golongan yang meminta dengan doa yang haram itu adalah kerana mungkin ada lelaki dikalangan mereka itu yang sedang berada dalam kesusahan atau kesempitan yang sekiranya seorang musyrik pun berada ditempatnya lalu berdoa kepada patung berhalanya akan dimakbulkan. Hal ini kerana benarnya pengharapan dia kepada Allah, sekalipun berdoa kepada berhala itu syirik dan sekalipun doanya itu dimakbulkan melalui tangan atau wasilah yang menjadi sekutu kepada Allah tersebut.

Baik melalui doa atau dengan berharap kepada si mati dalam kubur atau selainnya. Sesungguhnya dia tetap akan diazab di atas perbuatannya tersebut, lalu dicampakkan ke dalam api neraka jika Allah tidak mengampunkannya.

Kemudian beliau berkata; 'Ramai orang salah anggap, apabila mereka mendapati sebahagian tokoh orang soleh melakukan sesuatu ibadat atau berdoa dengan sesuatu doa, dan mereka mendapati perkara tersebut memberikan kesan atau berhasil maka mereka pun segera menganggap ianya sebagai dalil atau hujah akan baik atau bagusnya ibadat atau doa tersebut. Dan mereka pun menjadikan ia sebagai amalan sunnah seolah-olah ianya dibuat oleh nabi sedangkan hal ini adalah salah seperti yang telah kami sebutkan....' [Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim Mukhalafat Ashab al-Jahim, Ibn Taimiyyah]

# Ramai orang Cina berdoa kepada tokong budha, patung berhala lalu makbul, orang Kristian berdoa kepada Jesus atau patung Maryam di geraja makbul. Itu semua tidaklah menjadikan hujah atau dalil bahawa agama mereka benar.

Dajjal juga akan dapat memakbulkan permintaan orang ramai, tetapi hal itu tidaklah akan menjadikan Dajjal itu sebagai Tuhan.

Justeru agama dan kebenaran dinilai berdasarkan dalil, bukan kelebihan atau keberhasilan mencapai sesuatu.



Oleh Ustaz Emran Ahmad

Tidak membuat pilihan juga adalah merupakan sebuah pilihan.

Orang yang tidak berani membuat pilihan, atau selesa berada dalam keadaan 'comfort zone' pasti akan mengalami kerugian dan hidup dengan penuh penyesalan...

Hal ini disebutkan dalam firman Allah : 

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya mereka diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?." Mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di dalam negeri (Mekah)." Para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?." Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” [An-Nisa:97]

Buatlah pilihan yang terbaik untuk dunia dan akhirat kita, lalu diikuti dengan beristikharah dan bertawakal kepada Allah SWT....

Jangan biarkan tergantung amal dan kewajipan serta masa depan oleh keraguan dan was-was syaitan....

Buatlah keputusan dengan tegas kemudian bertawakal-lah kepada Allah..

Kerana Dia telah berfirman;

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
“Dan kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” [Ali-Imran: 159]




Menakutkan apabila fikir ada orang perempuan yang pakai kasut begini...

Pakailah kasut yang apabila berjalan menzahirkan Iman, tunduk dan khusyuk. 

Allah berfirman,

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ
“…janganlah para wanita itu menghentak-hentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)

Jangan sampai dari jauh orang sudah mendengar tapak kasut kita, ketuk-ketak, ketuk-ketak, menyakitkan mata dan telinga, belum lagi dengan lenggok yang menggoda!





Oleh Ustaz Imran Ahmad


Ada anak gadis yang kelihatan comel rupa-parasnya, sopan santun dan lembut tutur langkahnya tetapi setelah bernikah baru diketahui dia rupanya ada peribadi lain yang tersembunyi. Siapa boleh tahan kalau tiap-tiap hari minta cerai? Mengugut untuk bunuh diri dan mengancam akan menikam suami sewaktu tidur jika permintaannya tidak dipenuhi?

Biarpun cantik rupanya, bertudung labuh dan ada kalanya meletak 'pic profile' gadis berpurdah di facebook namun suami tak bahagia lantaran hari-hari terseksa batin dan jiwa dengan perangai si isteri.

Ada pula sang jejaka yang kacak dan tampan, Islamik dan beragama namun tangannya mudah sekali naik ke muka isteri. Ada pula jejaka yang romantik dan mempesona jiwa tetapi hakikatnya dia bernafsu kepada kaum sejenis. Ada pula lelaki yang berjanggut dan berjubah namun dalam diam memuja fahaman dan sosok gurunya sehingga kerana fahaman taasubnya itu habis porak-peranda rumahtangga.

Manusia memang tidak akan sempurna tetapi perlulah ada batas yang perlu dipatuhi. Seperti kata Abdullah bin Mas'ud RA;


المؤمن يطبع على الخلال كلها إلا الخيانة والكذب


'Seorang mukmin dapat terbentuk wataknya berdasarkan kekurangan apa saja kecuali khianat dan dusta.' [al-Ibanah al-Kubra, Ibn Battah]

Jadi dalam membuat keputusan tentang siapakah calon teman hidup, baik suami atau isteri maka pastikanlah paling kurang 3 ciri berikut tak tergadai oleh janji manis dan emosi atau hormon yang menguasai diri iaitu;

1. Teguh peribadi bukan macam lalang, setiap malam berubah keputusan. Biarlah kata-katanya boleh dipegang, janjinya boleh dipercayai.

2. Tidak mudah putus asa dan lemah diuji, jangan baru sedikit kena tempias hujan sudah mengadu tidak tahan basah. Itu belum dicampak berenang dalam lautan api....

3. Hatinya lembut, mudah ditegur dan senang dibimbing, tidak ego dan senang mentaati suami atau menerima nasihat isteri. Bukan sombong dan bongkak bagaikan Raja dan permaisuri bani Israel, semua cakap mahu disanggah, semua yang tak kena mahu dikomen dan dikritik, susah sekali untuk redha dan menerima dengan syukur dan lapang dada.

Andai tiada tiga asas di atas, biarlah berjubah sampai ke kaki, janggut panjang sampai ke buku lali atau bertudung labuh dan comel serta cantik bagaikan model iklan ubat gigi, simpanlah kecantikan itu kerana ianya tak membantu dalam kehidupan suami-isteri!


Ustaz Imran Ahmad


1. Menyedari bahawa tidak semua hadith adalah sahih untuk disandarkan kepada baginda nabi salallahualaihiwassalam kerana ada hadith yang dhaif (lemah), ada yang maudhuk (palsu/dusta) dan ada yang sahih yang wajib diterima dan dipercayai.

2. Apabila menemui sesuatu hadith, kenal pasti apakah ianya hadith, kata-kata sahabat atau ucapan ulama dengan melihat padanya kata-kata seperti Nabi SAW bersabda (قال النبي ) , diriwayatkan dari nabi SAW (عن النبي), Aku melihat nabi SAW dll.

Sesuatu riwayat yang tidak ada hubungan dengan kata-kata, perbuatan atau sifat serta khabar dari nabi SAW ianya bukan hadith nabi sebaliknya ianya mungkin merupakan kata2 sahabat yg disebut sebagai hadith mauquf (الحديث الموقوف) jika diriwayatkan oleh sahabat nabi SAW. Manakala jika ianya diriwayatkan oleh para Tabien maka ianya disebut sebagai hadith maqtu' (الحديث المقطوع )

3. Setiap hadith nabi SAW telah dikumpulkan oleh para ulama' hadith dalam kitab-kitab mereka dan proses pembukuan hadith dan pengumpulannya telah pun tamat. Oleh itu setiap orang yg mendakwa sesuatu perkataan/cerita/kisah itu sebagai hadith maka
ianya mesti dikeluarkan oleh ulama' hadith dari kitab-kitab hadith mereka.

Contoh : Dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sahih Al-Bukhari, Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, Imam Abu Daud dalam sunan Abu Daud, Imam Tirmidzi dalam Sunan Tirmidzi.

Hadith yg tidak dapat dikesan dari mana2 kitab hadith atau tidak dikeluarkan oleh ulama' hadith yg diiktiraf maka ianya disebut sebagai 'tiada asal' (لا أصل له) Kata Imam Ibn Taimiyyah ra, maksudnya hadith itu tiada isnad (tiada rantaian perawi yg membuktikan ianya berasal dr nabi)

4. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab Jami' sahih mereka ialah hadith yang sahih dan wajib diterima kerana ianya sudah disepakati kesahihannya.

Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam2 yang lain seperti Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie, Ibn Majah, Imam Ahmad di dalam Al-Musnad, Hakim dalam Kitab Al-Mustadrak dll secara umumnya boleh diterima oleh orang awam dengan 'kesedaran' bahawa bukan semua di dalamnya ialah hadith yg sahih. Oleh itu apabila ada ulama' hadith yang mengatakan ianya dhaif, palsu, lemah atau bermasalah maka hendaklah dirujuk kepada org alim.

Imam al-Bukhari ada mengarang kitab Adab Al-Mufrad, hadith di dalam kitab ini tidak sama taraf dengan hadith dalam kitabnya Jami' As-sahih kerana dalam kitab Adab Al-Mufrad ada hadith yg lemah.

5. Berhati-hati dengan penyamaran hadith oleh ajaran sesat seperti Syiah yang suka menipu dengan menyebarkan hadith palsu tetapi mengabuinya dengan mengatakan ianya diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim atau ulama' hadith yg lain. Jika disemak hadith itu tidak wujud. Jadi kena berhati-hati dan ingatlah sesungguhnya hadith nabi SAW ialah agama kita !


Oleh Ustaz Imran Ahmad

Monday, 3 March 2014



Indahnya alam ciptaan Ilahi, 
Sungguh keadaan alam semula jadi sentiasa memberikan ketenangan & kedamaian kepada diri. Tidak kira walau seremuk mana hati itu dilanda dengan musibah, dihujani dengan ujian.. Namun alam tidak pernah gagal memberikan ketenangan pada diri ini.. 
Lantaran itu lah, 
Kita mendengar kisah seorang pelukis dan penulis muda mahupun tua akan pergi mencari ilham dengan bertemankan alam. Jika di kota, penuh dengan hiruk piruk, bunyi hon kereta, lori, motorsikal yang membingitkan telinga.. Namun, setelah mengambil sedikit waktu dengan duduk di tepi biara, melihat pemandangan laut yang indah, pukulan ombak yang mesra lantas ilham pun akan keluar mencurah-curah.. 

Pada situasi lain, 
Mungkin ada di antara kita yang tidak tahan dengan 'kepanasan' rumahtangga, kerja dan juga situasi semasa. Lantas, buat seketika waktu, kita cuba menjarakkan hubungan dan gangguan dengan mencari ketenangan. Masuk ke dalam hutan melihat keindahan ciptaan tuhan. Damainya! Hilang segala kekusutan di jiwa. Kita tenang dengan keadaan itu.. Segala kekusutan minda, kesesakan jiwa kita kumpulan dalam satu keluhan. Lantas kita hembus perlahan.. Saat itu, terasa hilang segala bebanan yang memberatkan fikiran.. Benarlah! Sesungguhnya alam tidak pernah gagal memberikan ketenangan!

Indahnya ciptaan tuhan, 
Di dalam sebuah hutan yang didalamnya ada beberapa air terjun yang mengalir, kedengaran akan bunyi air terjun yang lalu perlahan, bunyi cengkerik yang tersorok di sebalik batu-batu, bunyi buluh yang bergesel sesamanya, bunyi burung yang menyanyi riang di bawah pohonan rimbun.. Semuanya begitu menenangkan..

Keindahan alam itu, 
Di atas puncak bukit yang diseliputi oleh awan dan kabus tebal, udaranya sungguh nyaman, cuacanya cukup dingin, kesunyian yang teramat sangat, kedengaran dan terasa kelembutan dingin angin yang bertiup menyapa kelembutan kulit.. Semuanya begitu mendamaikan.. 

Ketenangan itu, 
Di tepian pantai yang dihiasi dengan terumbu karang nan indah, di dasar lautan yang jernih bisa dilihat dari permukaan air, kelihatan anak-anak ikan yang beranika species dengan berenangan keriangan di sebalik terumbu karang, deruan angin yang menderu, bunyi ombak yang memukul pantai, juga daun-daun pokok ditepian pantai seolah-olah menari apabila ditiup angin.. Semuanya itu sangat mententeramkan.. 

Indahnya alam ini, 
Itulah ungkapan yang terlintas dalam pemikiran ini ketika memandang alam ciptaan ALLAH. Banyak lagi pelbagai keindahan alam yang begitu menenangkan jiwa, mendamaikan hati, melapangkan minda dan menyejukkan jiwa. Rupa-rupanya baru aku sedar, segala apa yang aa dilangit ini senantiasa bertasbih dan memuji ilahi. Cuma aku yang tidak mendengarnya. Jelas dalam firman-NYA dalam al-Quran :

"Segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah); dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Hadid ayat 1] 

"Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Hasyr ayat 1] 

"Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." [Surah as-Saf ayat 1] 

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." [Surah al-Jumua' ayat 1] 

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi MahaPengampun" [Surah al-Isra' ayat 44] 

Aku sedar, 
Selama ini yang ku sangka bisa mendamaikan hati, mententeramkan jiwa hanyalah satu ilusi. Bila mana aku mendengar muzik yang entah apa-apa secara berlebihan mungkin hanya menenangkan jasad semata tapi bukan jiwa. Tetapi bila aku mendengar dan memerhati kepada alam sekeliling, jiwa dan jasad ku berasa tenang. Begitu jualah dengan orang yang lain, sama ada apa anutan sekali agama mereka, pasti dan pasti alam itu memberikan ketenagan dan kedamaian padanya kerana jiwa dan roh itu sentiasa tenang bila mendegar tasbih dan pujian pada ilahi. 

Maka, 
Seharusnya hati dan lidahku perlu lebih banyak bertasbih dan memuji ilahi supaya bisa menenangkan jiwa, mendamaikan hati, melapangkan minda, juga menyejukkan jiwa.. Hanya kerana DIA~