Wednesday, 16 April 2014


Orang yang beriman akan berhati-hati dengan apa yang diucapkan dan ditulisnya kerana dia menyedari bahawa tidaklah ringan hisab dari hasil lisan dan tulisannya. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ مَا فِيْهَا يَهْوِى بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَمَا بَيْنَ الْمَسْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
'Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan sesuatu kalimah, yang tidak diambil berat tentang apa yang diucapkannya telah menyebabkan dia dicampakkan ke neraka yang kedalamannya lebih jauh dari timur dan barat.' [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Hanya mereka yang cerdik dan faham tentang agamanya sahaja akan berhati-hati dengan apa yang diucapkan atau ditulisnya. Perlukah berkata begitu? Wajarkan ditulis begitu? Apakah manfaatnya lebih besar dari mudharat atau sebaliknya?
Benarlah kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang diriwayatkan menyebut;
ما عقل دينه من لم يحفظ لسانه
'Tidaklah dianggap seseorang itu memahami agamanya bagi orang yang tidak menjaga lisannya.' [Ihya Ulumuddin, Al-Ghazalie]
Kerana itu para salaf cukup berhati-hati dalam sesuatu ucapan, fatwa, pendapat agama dan sebagainya kerana menyedari bahawa ianya satu tanggungjawab, bebanan dan akan dihisab. Bak kata Thawus bin Kaisan al-Yamani, salah seorang tabien yang masyhur, bahawa ucapan seseorang itu adalah ibarat binatang buas yang jika tidak dikawal dengan baik maka ia pasti akan membinasakannya.
# Fiqh dalam ucapan dan tulisan, jika kita tidak mendapati ada kebaikan dan keperluan atau kepentingan untuk mengucapkan sesuatu maka berdiam diri ialah sebaik-baik pegangan dan perbuatan.
Allah SWT berfirman;
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
“Tiadalah suatu ucapan yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Qaaf: 18).


Oleh Ustaz Emran Ahmad

Tuesday, 15 April 2014


Para ulama' salaf terdahulu sangat ketat terhadap bid'ah dan sering mengecam perbuatan tersebut. Hal itu dilakukan bukanlah kerana mereka menganggap diri mereka itu suci dan lebih baik daripada orang lain atau berfaham dengan fahaman hanya kami sahaja yang benar dan kefahaman selain kami ialah salah.
Mereka tidaklah membenci bid'ah semata-mata kerana kemuliaan diri mereka sebaliknya demi kemuliaan agama Allah dan semangat kebenaran serta kebimbangan dan kasih sayang terhadap deen ini untuk memeliharanya dari kepalsuan.
Mereka itu ketat itu dalam menjaga al-sunnah dan berpegang kepadanya adalah demi memastikan kemurniaan Islam daripada pencemaran dan penyelewengan. Mereka melakukannya demi mencari keredhaan Allah dan kerana tidak mahu Islam dicemari dan dipalsukan oleh ahli bid'ah dan orang-orang yang jahil serta pengikut hawa nafsu.
Dinaqalkan daripada Imam Al-Auzaie yang meriwayatkan daripada salah seorang tabien yang berkata ;
ما ابتدع قوم بدعة في دينهم إلا نزع الله من سنتهم مثلها ثم لا يعيدها عليهم إلى يوم القيامة
'Tidaklah suatu kaum melakukan bid'ah di dalam agama mereka kecuali Allah akan mencabut sunnah yang seumpamanya lalu tidak akan mengembalikannya lagi kepada mereka sehinggalah hari kiamat.' [Riwayat Ad-Darimi]
Tidak perlu satu surah al-Quran tetapi cukuplah satu baris atau satu huruf yang dipesongkan dan tidak perlu semua hadith tetapi cukuplah sebuah hadith yang palsu berhasil diserap masuk ke dalam masyarakat Islam dan cerita-cerita khurafat. Lihatlah apa kesannya kemudian kepada ummah dan generasi masa depan.
Dahulu hanya kerana kepercayaan kepada hadith palsu yang berbunyi :
لا يدخل ولد الزنا الجنة , و لا شيء من نسله , إلى سبعة آباء
"Tidak akan masuk syurga anak zina, tidak masuk juga keturunannya sehinggalah kepada tujuh keturunan." [Diriwayatkan oleh al-Tabarani namun ianya tidak sahih dari Nabi salallahualaihiwassalam dan dimuatkan dalam kitab al-Maudhu'at oleh Imam Ibn Jauzi]
Maka ramailah anak-anak zina dimalukan, menanggung aib dan hidup teranaiya, dicela jiran tetangga, sukar menikah dan hidupnya tertindas oleh kerana dosa ibubapanya yang mungkin sudah pun meninggal atau telah pun bertaubat.
Zaman kini, muncul pula pelbagai cerita dan kisah, riwayat dan hadith yang dipopularkan oleh penceramah agama yang jika tidak ditapis serta dikritik maka sudah pasti Islam yang diterima oleh generasi masa depan akan berbeza daripada Islam yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwassalam.
Diriwayatkan bahawa Abdullah Ibn Umar RA berkata,
كل بدعة ضلالة وإن رآها الناس حسنة
'Setiap bid'ah itu sesat sekalipun manusia memandangnya sebagai baik.' [al-Ibanah al-Kubra, Ibn Battah]
Itu belum dicampur ancaman dari golongan liberal, sekular, pluralisme, feminis, kapitalis dan pihak yang berniat jahat terhadap agama ini baik di luar dan dalam...
Hanya Allah sebaik-baik pelindung dan tempat kita memohon pertolongan...



oleh Ustaz Emran Ahmad
Ustaz kata, 

Allah Subhanahu wa Taa'la tidak menerima syafaat Nabi Ibrahim as untuk ayahnya, Azar yang musyrik..
Walaupun Nabi Ibrahim as seorang nabi, namun syafaat bukanlah milik Nabi Ibrahim as. Syafaat tetap milik dan izin dari Allah. Malah Nabi Ibrahim as sendiri telah berdakwah kepada ayahnya dengan kaedah yang paling baik kepada ayahnya, tetap ditolak..
Dan akhirnya ayah Nabi Ibrahim as telah dicampak ke Neraka..
Tapi ustaz menambah lagi, 
Dalam dakwah dan menyeru kebaikan jangan putus asa..

Mungkin ada orang-orang yang hampir dengan kita masih ada yang belum menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Walaubagaimanapun, usaha menyampaikan perlu diteruskan..
Contohnya, Nabi Muhammad solallahua'laihi wassalam sendiri diuji dengan bapa saudaranya yang tidak menerima dakwah Baginda...
Mungkin ada orang yang kita kenal, dia seorang suami dan baik pula agamanya, namun isterinya tidak mahu mengamalkan perintah agama..
Maka, rujuk kembali Kisah Nabi Allah Nuh as. Malah Isteri Nabi Allah Nuh as sendiri menolak dalam bab iman..
Jangan pula kita sibuk-sibuk menilai dengan mengatakan 
"Macamana suami nak jadi pemimpin, sedangkan isterinya masih tak ikut perintah Allah".
Juga mungkin dia seorang bapa yang baik rajin solat ke masjid, tapi anak-anak tak mengikut bapanya..
Jangan dikritik kritik si ayah atau si anak...

Kalau begitu, tak layaklah Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh as menjadi Rasul kerana ayahnya Nabi Ibrahim as ingkar perintah Allah dan Anak Nabi Nuh menolak dakwah yang dibawa.
Jangan dikritik si ayah,si suami atau seseorang itu, kerana boleh jadi beliau memang sentiasa berusaha berdakwah, namun hanya Allah belum izinkan hidayah...
Jangan jadikan iman mad'u (orang didakwah) fitnah kepada dai'e (orang yang berdakwah) kerana hidayah Allah yang beri. Ini Hakikat yang perlu kita semat dan pegang kuat-kuat.
Jangan sesekali menilai seseorang semata-mata berdasarkan orang sekelilingnya.. Kita sendiri tak pasti adakah kita hari ini adalah orang yang sama 10-20 tahun lagi...
Yang penting, kita doakan dan sebarkan kebaikan..
Malah, kita lebih-lebih patut risaukan tahap iman kita sendiri di masa akan datang. Jika kita sibuk perbaiki diri sendiri, kita takkan sempat melihat kekurangan orang lain.
Mudah-mudahan kita dipelihara oleh Allah daripada menjadi 'anak' kepada Nabi Nuh as atau 'bapa' kepada Nabi Ibrahim as atau 'isteri' kepada Nabi Luth as & Nabi Nuh as mahupun 'suami' kepada Asiah...
~Kuliah Tafsir Ustaz Mohd Yusof Arbain~
MRM, 15 Jamadilakhir 1435

Saturday, 12 April 2014




# Kita bimbang banyak berbuat baik namun tidak dikira di sisi Allah pada hari akhirat di saat-saat kita benar-benar memerlukan pahala kerana dalam hati kita ada syirik dan keburukan niat lalu terhapus semua pahala.
Allah SWT berfirman;
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau -wahai Muhammad - dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum engkau: "Jika kamu berbuat syirik (kepada Allah), nescaya akan gugur atau terhapuslah amalan kamu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi." [Az-Zumar: 65]
# Kita juga bimbang begitu banyak dakwah, kebenaran yang kita sampaikan ke seluruh pelusuk alam namun ianya tidak menyebabkan kita masuk ke syurga Allah kerana di dalam hati kita ada perasaan sombong dan angkuh serta besar diri dengan menganggap sudah banyak berjasa kepada agama.
Dari Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda;
لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر
'Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau sebesar zarah daripada perasaan besar diri.' [Riwayat Muslim]
# Kita bimbang, begitu banyak orang yang melakukan maksiat, dosa dan kesilapan diampunkan oleh Allah pada hari akhirat namun kita pula terhalang dari mendapat pengampunan daripada-Nya kerana bid'ah dan kesesatan yang kita mulakan sehingga diikuti oleh orang lain.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
إن الله حجب التوبة عن كل صاحب بدعة حتى يدع بدعته
'Sesungguhnya Allah menahan taubat setiap ahli bid'ah sehinggalah dia meninggalkan bid'ahnya.' [Riwayat al-Tabarani dan Al-Baihaqi, sebahagian ulama' mensahihkannya dan terdapat riwayat yang lain dari jalan Ibn Abbas RA yang dikeluarkan oleh Ibn Majah namun ianya didhaifkan oleh Syeikh Al-Albani]
Namun menjadi ucapan salaf, bahawa ahli bid'ah terhalang taubatnya sehinggalah dia meninggalkan bid'ahnya. Antaranya ucapan Imam Sufyan al-Thauri rahimahullah yang diriwayatkan menyebut;
البدعة أحب إلى إبليس من المعصية؛ لأن المعصية يتاب منها والبدعة لا يتاب منها
'Bid'ah itu adalah lebih disukai oleh Iblis daripada maksiat, kerana maksiat itu orang yang melakukannya akan bertaubat sedang pelaku bid'ah tidak akan bertaubat (kerana menyangka dia benar).' [al-Bada'i`al-Fawa'id, Ibn al-Qayyim]
Semoga kita diselamatkan oleh Allah dari apa yang kita bimbangkan !
الَلَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا أَعْلَمُ


Ustaz Emran Ahmad

Wednesday, 9 April 2014



Dalam kitab Al-I’tisam karya al-Imam al-Syatibi: "Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) daripada mana aku patut berihram?. Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah ذو حليفة di mana tempat yang RasululLah berihram”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram daripada Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram daripada kubur Nabi s.a.w.. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang menimpa ke atas dirimu fitnah”. Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik:
وأي فتنة أعظم من أن ترى أنك سبقت إلى فضيلة قصّر عنها رسول الله صلى الله عليه وسلم، وإني سمعت الله يقول: فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
(Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih” Surah al-Nur: 63.
ULASAN: Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi s.a.w, atau kubur baginda s.a.w, namun al-Imam Malik membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap dia dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi s.a.w.



Dr.Asri Zainal Abidin (Dr.MAZA)

Sunday, 6 April 2014


Umat Islam perlu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran baik untuk kepentingan dunia dan juga akhirat. Hal ini merupakan kewajipan fardhu kifayah sebagaimana Zaid bin Tsabit RA yang pernah diperintahkan oleh Nabi salallahualaihiwassalam untuk mempelajari bahasa yahudi agar umat Islam tidak ditipu oleh mereka.
Begitu juga pada hari ini umat Islam perlu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran teknologi agar dapat mempertahankan Islam dan memanfaatkan ummah.
Diriwayatkan bahawa Imam al-Syafie rahimahullah pernah menyebut;
لا أعلم بعد الحلال والحرام أنبل من الطب، إلاَّ أنّ أهل الكتاب قد غلبونا عليه
'Aku tidak mengetahui selepas halal dan haram akan ilmu yang lebih mulia selain ilmu perubatan. Akan tetapi ahli kitab telah mengalahkan kita pada bidang ini.'
Begitu juga beliau menyebut;
ضيعوا ثلث العلم ووكلوا إلى اليهود والنصارى
Umat Islam telah mengabaikan hampir satu pertiga daripada ilmu dan membiarkannya kepada kaum yahudi dan nasrani. [Adab Asy-Syafi'i, Ibnu Abi Hatim al-Razi]
Kita perlu bersungguh-sungguh untuk menguasai pelbagai ilmu kerana agama sebagaimana Zaid bin Tsabit RA yang menguasai bahasa yahudi dalam masa 17 hari sahaja kerana kesungguhannya bagi menunaikan kewajipan ilmu terhadap ummah.


by : Ustaz Emran Ahmad

Saturday, 5 April 2014


Di dalam Islam, mendapat kematian yang baik adalah merupakan tujuan hidup orang-orang yang beriman. Ini kerana diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;
الأعمال بالخواتيم
'Sesungguhnya amalan itu adalah bergantung kepada pengakhirannya.' (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang beriman untuk mencari jalan dan berusaha mendapatkan kematian yang mulia lagi diredhai oleh Allah agar kehidupan mereka menjadi bernilai dan bermakna. Disebabkan itu, maka kita seharusnya memberi fokus tentang kematian dan sentiasa bersedia untuk mati dengan memikirkan serta berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
Kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah;
وما ألزم عبد قلبه ذكر الموت إلا صغرت الدنيا عليه
'Dan tidaklah seorang hamba itu mengingati mati di hatinya melainkan dunia pun akan menjadi kecil baginya.'

Tidak ada masalah yang lebih besar, lebih berbaloi dan lebih menakutkan daripada mati. Justeru sesiapa yang mempersiapkan amalan dan bersedia untuk mati maka dia akan mampu menghadapi apa jua ujian dan dugaan dalam kehidupan.
Sebahagian salaf selalu berpesan supaya bersedia untuk mati dan menjadikan ia di jalan Allah.
Kata mereka;
احذر الموت في هذه الدنيا قبل أن تصير إلى دار تتمنى فيها الموت فلا تجده
'Berhati-hatilah dengan kematian di dunia ini sebelum kamu menuju ke dunia yang satu lagi yang mana kamu berharap untuk mati di dalamnya tetapi kamu tidak akan mendapatinya.'

Sementara kita masih hidup, manfaatkanlah kehidupan dan kematian kita di jalan yang Allah redha...

Kita memohon perlindungan Allah dari tertipu dengan dunia dan kecantikannya sehingga kita
disibukkan dengan berdebat, berbahas dan berjidal tentang hal yang sia-sia sehingga
apabila datang kematian lalu kita tak punya bekal apa-apa bahkan hanya dosa dan bebanan
yang sangat banyak....

Semoga Allah menjauhkan kita dari kematian yang sia-sia dan menemukan kita dengan
husnul khatimah yang diidam-idamkan..

Oleh Ustaz Emran Ahmad